Kimia Kebahagiaan: Mencapai Ma’na Kebahagiaan
oleh Liyana Ramlan
Perkembangan mutakhir perbahasan tentang kesihatan mental secara lazim pasti akan membawa kita kepada persoalan: apakah makna kebahagiaan dalam Islam? Memukul rata atau memandang serong terhadap seseorang yang mengalami kesihatan mental sebagai orang yang (lebih) teruk peribadinya berbanding diri kita bukanlah cara pandang atau penilaian yang elok dalam usaha kita ingin membantu seseorang mencapai kesejahteraan hidup. Agama kita merupakan agama yang memberatkan aspek metodologi (usul). Dalam berdakwah, selain pengisian, metodologi juga memainkan peranan penting dalam penyebaran ilmu yang bermanfaat. Dalam penulisan bersifat ilmiah, metodologi kajian merupakan salah satu aspek utama dalam penulisan bersifat akademik tersebut. Dalam proses berfikir, kerangka atau metodologi berfikir yang membuahkan cara pandang kita terhadap suatu persoalan juga perlu dititikberatkan. Ubatnya? Ilmu.
Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, tujuan akhir kebahagiaan (sa’adah) dalam Islam adalah cinta kepada Tuhan. Dari sudut definisi kamus, maksud perkataan 'kebahagiaan' atau 'happiness' secara umum dapat ditakrifkan sebagai (1) kesempatan yang baik atau nasib yang baik (good fortune or luck in life or in a particular affair); (2) keadaan dhihin yang memuaskan (the state of pleasurable content of mind, which results from success or the attainment of what is considered good); dan (3) berjaya atau sifat diri yang gembira, ketepatan, kesesuaian, atau kebetulan; kegembiraan (successful or felicitious aptitude, fitness, suitability, or appropriateness; felicity). Oleh yang demikian, apakah makna kebahagiaan menurut Islam?
Menurut Imam al-Ghazali dalam Kimiyya al-Saadat (The Alchemy of Happiness), makna kebahagiaan (sa'adah) secara ringkas membawa maksud mengalihkan pandangan mata hati kita daripada perihal keduniaan; mengosongkan perhatian duniawi kita kepada selain Allah. Maknawi sa'adah juga dapat dibahagikan kepada empat cabang iaitu (1) ilmu tentang diri (the knowledge of self); (2) ilmu tentang Allah (the knowledge of God); (3) ilmu tentang dunia (the knowledge of this world); dan (4) ilmu tentang akhirat (the knowledge of the next world). Dunia ini sememangnya tempat untuk kita bercucuk tanam sebagai persiapan untuk kehidupan abadi di akhirat kelak. Walhasil, tuntutan menimba ilmu juga dapat diertikan sebagai salah satu bentuk ibadah yang dapat mendekatkan diri seseorang kepada Allah. Jika diteliti dengan lebih mendalam, ilmu yang dipelajari secara tidak langsung memberi kefahaman kepada diri insan tentang tempat letak sesuatu perkara, persiapan untuk menjaga kerohanian kita, garis pandu dalam kehidupan; untuk menghadapi ujian hidup dengan lebih tenang. Maka buah ilmu tersebut menjadi antara punca kebahagiaan (sa'adah) bagi seseorang.
Menurut pandangan penulis, konsep agama (ad-Dīn) yang dikemukakan oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dapat menjelaskan bagaimana caranya seseorang dapat mengalihkan pandangan mata hati daripada perihal keduniaan iaitu dengan adanya rasa keberhutangan kita kepada Allah. Apabila kita melihat hidup kita sebagai satu ‘hutang’ kepada Allah, sudah pasti kita akan menyibukkan diri kita dengan melakukan amal soleh demi untuk melangsaikan ‘hutang’ tersebut; menzahirkan rasa terima kasih kita kepada Allah. Sudah menjadi fitrah manusia menyukai kebaikan. Suka melakukan kebaikan. Kebahagiaan dapat dicapai apabila kita menzahirkan sifat mahmudah; kita berbuat baik kepada orang lain. Inilah dikatakan kimia kebahagiaan. Amal soleh yang dilakukan demi keredhaan Allah mampu mencetuskan ketenteraman jiwa dan ketenangan peribadi dalam usaha mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
Husnuzhon billah. Hati-hati dengan lintasan hati kita. Disiplinkan hati kita untuk sentiasa berbaik sangka kepada Allah. Yakinlah bahawasanya Allah Maha Mengetahui. Allah hargai. Dari sudut bahasa, sekiranya dibedah maksud perkataan ‘hargai’ bersinonim dengan perihal diberi penghormatan, dianggap penting dan dimuliakan. Allah hargai. Kesedihan, kepayahan yang kita alami; keta’asuban (atau sifat mazmumah) yang bertapak dalam hati kita – yang kita cuba tinggalkan kerana Allah; Allah hargai dan sentiasa bersedia untuk kurniakan rahmahNya, anugerahNya.
Persoalannya, bersediakah kita untuk menerima?
Liyana Ramlan merupakan seorang guru bahasa Melayu. Beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu (BA) dalam bidang bahasa Melayu dan Sarjana Pengajian Melayu (MA) dalam bidang penterjemahan bahasa Melayu-Inggeris di bawah penyeliaan Prof. Dr. Puteri Roslina Abdul Wahid di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Kredit gambar utama: https://muslimheritage.com/islamic-glass-gallery/