Menyingkap Peristiwa Israk Mikraj Dalam Puisi Melayu
Antara kitab yang sering dibaca di pondok dan pusat pengajian tradisional pada bulan Rejab ialah Kifāyat ul-Muhtāj tulisan Shaykh Wan Daud bin Abdullah al-Faṭani. Kitab ini mengisahkan perjalanan Israk Mikraj dengan terperinci. Menurut Shaykh Daud al-Faṭani, terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama berkenaan tarikh peristiwa agung ini. Namun, tarikh yang masyhur ialah 27 Rejab sebagaimana yang diraikan di kebanyakan masjid dan pusat pengajian kini. Seorang lagi ulama yang menulis berkenaan Israk Mikraj melalui kitab yang khusus ialah Shaykh Muhammad Azhari al-Falimbani yang menulis kitab Qiṣṣat ul-Isrā’ wa l-Mi‵rāj al-Nabī.
Namun, khazanah persuratan Melayu turut memiliki puisi yang menyentuh perihal Israk Mikraj ini sama ada dari sudut periwayatan kisah atau renungan yang lebih mendalam berkenaan keterkaitan peristiwa ini dengan perjalanan seorang insan.
Mikraj Gemala Mestika Alam
Seorang ulama’, lebih dikenali sebagai sasterawan, yang merupakan murid kepada Shaykh Daud al-Faṭani, iaitu Raja Ali Haji telah menyentuh tentang peristiwa Isra’ Mikraj dalam fasal 8 bagi Syair Gemala Mestika Alam. Syair ini telah diterbitkan oleh Maṭba‵ah Riyawiyyah pada tahun 1311H.
Diperintahkan oleh Tuhan yang satu,
Mikraj ke langit khabar yang tentu,
Mukjizat yang besar demikian itu.
Segala ka’ināt diperlihatkan,
Syurga neraka diperjalankan,
Sembahyang lima waktu difardukan.
Turun dari mikraj Nabi bercetera,
Ada yang mendustakan ada yang menggera,
Ada yang murtad tidak berkira.
Dengan bait yang padat, syair ini menyelitkan beberapa perkara yang berlaku semasa Israk Mikraj seperti pertemuan baginda ﷺ dengan para nabi-nabi, melawat syurga dan neraka, menerima kefarduan sembahyang serta perkara yang berlaku sekembali daripada perjalanan tersebut iaitu ketidakpercayaan kaum Quraisy terhadap kejadian tersebut sehingga menyebabkan sebahagian yang telah memeluk ugama Islam menjadi murtad.
Nazam Perjalanan Indah
Seorang tokoh agama masa kini yang turut menulis peristiwa Israk Mikraj dalam bentuk puisi ialah Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir al-Azhari, pengasas Zawiyah Nasiriyyah di Kedah. Beliau telah menulis kitab khusus bertajuk Al-Sirāj ul-Wahhāj Fī Qiṣṣat il-Mi‵rāj yang mengandungi nazam berbahasa Melayu yang berjumlah 113 rangkap.
Nazam ini bermula dengan memberikan definisi Israk dan Mikraj. Kemudian penulis menggambarkan perjalanan Israk baginda ke Baitil Maqdis lalu mengimamkan solat yang diikuti para nabi. Seterusnya, dikisahkan peristiwa Mikraj dengan terperinci sehingga pengurangan bilangan jumlah sembahyang daripada 50 hingga 5 setelah baginda ﷺ menerima nasihat Nabi Musa.
Bait penutup nazam ini mengajak pembaca mengambil iktibar akan peristiwa Israk Mikraj ini sehingga semakin jatuh cinta kepada baginda ﷺ.
Tak terbanding seluruh makhluk di jagat raya.
Walau tinggi kedudukannya namun tak lupa,
Jadikanlah baginda panduan hidup kita,
Inilah kisah Mikraj nabimu yang berjasa,
Dalam kata muqaddimah karya ini, penulis menyatakan bahawa nazam ini selesai ditulis pada 21 Ramadan 1441H dan dibaca dengan baḥar basīṭ semisal Burdah al-Imam al-Būṣairī.
Mikraj Al-Amin
Sasterawan Negara Malaysia, A. Samad Said menulis suatu puisi panjang bertajuk Al-Amin: Riwayat Hidup Rasulullah SAW Dalam Puisi yang pertama kali diterbitkan oleh Dewan Bahasa & Pustaka pada tahun 1999. Puisi ini meriwayatkan kisah kelahiran baginda ﷺ hingga wafat. Peristiwa Israk Mikraj dilukiskan secara terperinci dengan bahasa yang puitis. Pada awal bahagian tersebut, penulis menyatakan:
Akan bermula satu bimbingan dari bumi dasar ke luas cakerawala;
akan, dalam perenungan diri, terhampar satu dan rahsia
berfikir tak terfikir, merasa tak terasa, begitu ajaibnya;
dari menjadi, tak dirancang, dirancang bukan hak insan,
satu anugerah paling permata, kerlip zahir yang payah dinilai,
begitu dalam setiap langkah ke arah buraq, kekaguman meningkat
dari busut heran ke gunung takjub kembali ke lurah ghairah,
bersedialah Nabi memasuki gerbang hati yang paling jernih.
Dengan bahasa metafora, penulis menggambarkan kisah Israk Mikraj sebagai perjalanan ajaib yang melepasi pemahaman akal sehingga menimbulkan kehairanan dan ketakjuban dalam suatu perjalanan yang suci. Antara rangkap yang merumuskan peristiwa Israk Mikraj ini ialah:
Kebesaran dan anugerah dari bumi ke langit ke ruang cakerawala
terpilih hanya untuk Nabi. Segala mukjizat yang disimbah hanya
ke atas Rasulullah SAW, segala peristiwa, betapa genting, dilaluinya
lapis demi lapis membuka batin, menjadi akar tulus merimbun
pohon maruah, dengan pesanan dan peringatan yang cekal dihebah
bahawa dari Kaabah bermulanya, solat menjadi sendi istimewa,
meluhuri sanubari, menyembah hanya ke Allah Yang Satu, dan Israk
dan Mikraj, perjalanan semalaman syahdu, bakal memperkukuh ummah.
Rangkap ini memperihalkan peristiwa demi peristiwa yang dilalui tatkala Israk Mikraj yang bukan hanya membuka batin baginda ﷺ tetapi juga sebagai jalan memperkukuh ummahnya kerana bersifat seperti akar yang menumbuhkan pohon maruah. Solat menurut penulis menjadi sendi istimewa yang bukan sekadar suatu ritual jasmani tetapi meluhuri iaitu membersihkan sanubari sehingga terhias dengan nilai murni dan manusiawi.
Perjalanan Buraq
Terdapat juga puisi yang secara nyata mengaitkan perjalanan Israk Mikraj dengan perjalanan seorang insan menuju Tuhan. Seorang penyair yang terkenal dengan sajak berunsur sufi, Johar Buang, menulis puisi bertajuk MRT yang terkandung dalam buku Perahu Melayu di Lautan Khulzum. Sajak ini menerima Hadiah Sastera bagi Anugerah Persuratan 1993.
Pada bait awalnya, penulis membayangkan Buraq tatkala ia sedang menaiki keretapi:
kuteringat tangkasnya Buraq
yang ditunggang oleh seorang Nabi
dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa
maknawi peribadi insan
terbentang luas di alam ghaib
Melalui kaitan metafora MRT sebagai keretapi moden yang membawa penumpang ke mana-mana dengan Buraq, penulis mengisyaratkan perjalanan yang harus ditempuh juga oleh insan yang menaiki kenderaannya menuju destinasi. Maknawi peribadi insan menunjukkan pemakanaan yang ditempuh melalui perjalanan yang terbentang luas di alam ghaib.
di perhentian mana mesti kusinggah
kuturutkan gerabak ini berlalu
membawa matahatiku
dari Yishun ke Tanah Merah
dari Pasir Ris ke Raffles City
seperti aku berlari mencariMu
dari Safa ke Marwah
dari masyrik ke maghrib
dari alam malakut ke alam jabarut
Penulis mengaitkan kisah Israk Mikraj dengan perjalanan peribadinya sendiri sebagai seseorang yang berlari mencariMu dengan matahatinya sedang jasad berada dalam hiruk-pikuk dunia dari Yishun ke Tanah Merah dan seterusnya. Begitulah perjalanan Israk Mikraj membawa iktibar dan tidak terpisah daripada perjalanan seorang insan yang ingin bertemu Tuhannya.
Akhirul Kalam
Khazanah persuratan Melayu sarat dengan renungan para penyair berkenaan pelbagai kisah yang terhimpun dalam sirah junjungan ﷺ. Apakala sang penyair membina dan memperkukuh hubungan dengan baginda ﷺ melalui perenungan, coretan yang ditumpahkan sebagai puisi menjadi pancuran hikmah yang boleh ditimba oleh seorang pembaca. Tulisan ini diakhiri dengan bait syair seorang ulama sufi yang masyhur, Shaykh Hamzah Fansuri untuk menyimpulkan perenungan berkenaan kisah Israk dan Mikraj.
Qaba qawsayn itu seperti kandang,
Tali antaranya bukannya benang,
Barzakh namanya sana terbentang,
Ketiganya wahid yogya kau pandang.
Biodata Penulis
Muhammad Khairool Haque ialah seorang penulis dan pendidik. Beliau telah berkhidmat sebagai guru Bahasa Melayu di sekolah rendah sebelum menyambung pengajian di Institut Pendidikan Nasional, Singapura. Dalam bidang penulisan, beliau telah menerima Anugerah Pena Emas pada 2009 bagi puisi dan Anugerah Penulis Muda ASEAN pada 2014. Buku tulisannya termasuk Iftitah (2019), Syair Asas Ugama (2019) dan Anak Waktu Belajar Diam (2020).