Sistem Pengajian Dars Niẓāmi: Suatu Pengenalan
Oleh Zaid Bin Ahzamshah
Setiap institusi agama seperti universiti, pondok, mahupun pesantren pasti mempunyai sistem pengajian yang berbeza. Setiap sistem pengajian itu juga ada kekuatan dan keistimewaan mereka tersendiri.
Sistem Dars Niẓāmi ialah sebuah sistem pengajian agama yang diasaskan oleh Mullā Niẓām al-Dīn al-Sihālawī (1161H/1748M) pada abad ke-18. Sistem ini digunakan di Darul Uloom Deoband dan kebanyakan cawangan-cawangannya di benua India dan luar daripadanya.
Sistem ini merangkumi pengajian Bahasa Arab dan Ulūm Dīniyyah secara tradisional iaitu membaca kitab berhadapan dengan guru dan membaca kitab dari awal sampai akhir secara sistematik.
Tempoh pengajian ini adalah selama lapan tahun bermula dari peringkat asas sehinggalah peringkat Dauratul Ḥadīth. Ada sebahagian madrasah mengkategorikan masa lapan tahun itu kepada empat peringkat. Tahun Satu dan Dua ialah peringkat Tsanawiyah ‘Ammah, Tahun Tiga dan Empat ialah peringkat Tsanawiyah Khāṣṣah , Tahun Lima dan Enam ialah peringkat ‘Āliyyah, dan Tahun Tujuh dan Lapan adalah peringkat ‘Ālimiyyah.
Sebagaimana di tempat-tempat lain, sistem ini juga menyediakan pelbagai pengajian ilmu seperti Nahwu, Sarf, Fiqh, Tauhid, Tajwid, Ḥadīth, Terjemah al-Qurʾān, Akhlak, Sīrah , Sastera ‘Arab, Falsafah, Mantiq, Usul Fiqh, Qawaid Fiqh, Usul Ḥadīth, Usul Tafsīr dan lain-lain lagi. Ilmu-ilmu ini akan dipelajari tahap demi tahap mengikut peringkat masing-masing dan merupakan bidang ilmu yang perlu dikuasai sebelum memasuki pengajian Dauratul Ḥadīth.
Perbezaan dan keunikan sistem ini dengan yang lain ialah adanya pengajian Dauratul Ḥadīth pada tahun yang terakhir. Pengajian Dauratul Ḥadīth dapat diadaptasikan di dalam sistem ini dengan pengaruh seorang alim ḥadīth dan tarikat iaitu Shāh Walīullāh Dehlawī (1176H/1762M). Pada awalnya, beliau mengajar sendiri keseluruhan Kutub al-Sittah. Kemudian, pengajian itu diteruskan oleh anak cucu beliau sehinggalah dijadikan sebagai sebuah pengajian formal. Apakah itu Dauratul Ḥadīth?
Dauratul Ḥadīth ialah pengajian kutub al-Sittah iaitu enam kitab Ḥadīth yang masyhur dan beberapa kitab Ḥadīth yang lain secara sistematik dan bersanad.
Enam kitab itu adalah:
1. Ṣaḥīḥ al-Bukhāri
2. Ṣaḥīḥ Muslim
3. Jāmiʿ Tirmidhi
4. Sunan Abī Dāwūd
5. Sunan Nasāʾi
6. Sunan Ibnu Mājah
Antara kitab-kitab Ḥadīth yang lain ialah Muwaṭṭaʾ Imām Mālik Riwayat Yaḥyā Bin Yaḥyā, Muwaṭṭaʾ Imām Muḥammad Bin Hasan al-Shaybānī dan Shamā'il al-Tirmidhi.
Mungkin ada yang tertanya, bagaimana mungkin seseorang dapat mempelajari kesemua kitab-kitab Ḥadīth di atas dalam masa setahun?
Antara jawapannya: Sebelum seseorang pelajar memasuki Dauratul Ḥadīth, yakni dari Tahun Satu hingga Tujuh, dia perlu menguasai ilmu-ilmu asas (seperti mana yang telah disebut di atas). Dengan erti kata lain, dia tidak perlu lagi diperkenalkan kepada pelbagai istilah dan permasalahan fiqh. Oleh sebab itu, masa tidak akan diluangkan untuk menerangkannya lagi. Tambahan pula pada tahun ketujuh, dia akan mempelajari Kitab Misykāt ul-Maṣābīh (sebuah kitab Ḥadīth) yang secara ringkasnya membahaskan sebahagian besar Ḥadīth-Ḥadīth yang ada dalam Kutub al-Sittah. Setelah itu guru Dauratul Ḥadīth tidak akan mensyarahkan lagi ḥadīth-ḥadīth yang telah dibahas semasa pelajaran kitab Misykāt.
Pada akhir pengajian Dauratul Ḥadīth, kebiasaannya akan diadakan Majlis Khatam Ṣaḥīḥ al-Bukhāri di mana Ḥadīth yang terakhir dalam Ṣaḥīḥ al-Bukhāri akan dibacakan dan disyarahkan oleh Sheikhul Ḥadīth (istilah untuk guru yang mengajar Ṣaḥīḥ al-Bukhāri) kepada para pelajar dan peserta-peserta yang hadir majlis tersebut. Pada akhir majlis, pelajar akan diberikan ijazah sanad dan akan dililitkan serban oleh para masyaikh Dauratul Ḥadīth sebagai satu tanda kepercayaan yang diberi untuk mengamalkan ilmu dan menyampaikannya. Amalan melilitkan serban ini biasanya disebut sebagai Dastar Bandi.
Selepas tamat pengajian Dars Niẓāmi selama lapan tahun, pelajar boleh lanjutkan pelajaran dalam bidang Takhaṣṣuṣ . Apa itu Takhaṣṣuṣ ?
Takhaṣṣuṣ ialah mempelajari bidang-bidang tertentu dengan lebih mendalam agar lebih mahir dan lebih mantap dalam bidang tersebut. Kebiasaannya Takhaṣṣuṣ mengambil masa dua tahun.
Antara Takhaṣṣuṣ yang ditawarkan ialah:
- Takhaṣṣuṣ fi al-Fiqh wa al-Ifta’
- Takhaṣṣuṣ fi al-Ḥadīth
- Takhaṣṣuṣ fi al-Tafsīr
- Takhaṣṣuṣ fi al-Adab ʼArabiyyah
- Takhaṣṣuṣ fi al-Qirāʼat dan lain-lain lagi.
Kebiasaanya, mereka yang tamat pengajian Dauratul Ḥadīth akan diberikan gelaran Mulvi, yang sudah mengajar beberapa lama dipanggil Mawlānā, dan yang tamat pengajian Takhaṣṣuṣ fiqh dan ifta’ diberi gelaran Muftī. Ini adalah sebagai panggilan hormat.
Begitulah perjalanan sistem Dars Niẓāmi yang telah beroperasi sekian lama. Ia telah melahirkan ribuan para alim ulama’ dan tokoh-tokoh yang hebat seperti Mawlānā Zakarīyā ibn Muḥammad Kāndhlawī, Mawlānā Abu Ḥasan ʼAli An-Nadwi, Muftī Taqi ʼUthmani dan lain-lain lagi. Kini, sistem ini bukan sahaja di benua India sahaja. Malah, ia telah berkembang ke seluruh dunia seperti Madrasatul Quran Kubang Bujuk Terengganu Malaysia, Darul Uloom Karachi Pakistan, Darul Uloom Dewsbury UK, Darul Uloom Zakariyya di Lenasia Afrika Selatan, Madrasah Tahfiz al-Quran An-Nur Markaz Yala Thailand, Darul Uloom Al-Madania New York di Amerika Syarikat, Madrasah Al-Shawlatiyyah di Makkah Al-Mukarramah Arab Saudi dan banyak lagi.
Alhamdulillah, di Singapura juga ada graduan-graduan sistem Dars Niẓāmi. Kebanyakan daripada mereka memberi khidmat di masjid-masjid, pusat pengajian agama swasta, organisasi kemanusiaan dan lain lagi. Setakat ini, saya dapati belum ada lagi mana-mana institusi atau pusat pengajian agama yang menerapkan sistem ini secara formal di Singapura. Namun begitu, sudah ada di Singapura suasana pengajian berhalaqah menggunakan kitab-kitab turath dan pengajian kitab ḥadīth seperti Ṣaḥīḥ al-Bukhāri, Jāmiʿ Tirmidhi dan Misykāt ul-Maṣābīh.
Semoga manhaj ini sentiasa berjalan dan dipelihara oleh Allah SWT daripada segala kejahatan dan keburukan pihak-pihak batil, dan terus berkembang ke banyak tempat kerana dari sini telah lahir ramai alumninya yang banyak berjasa dan berbakti kepada umat Islam seluruh dunia.
Setakat ini sahaja perkongsian saya yang sedikit ini. Mudah-mudahan perkongsian yang sedikit ini dianggap sebagai usaha kecil untuk memartabatkan pengajian agama bertradisional di bumi Singapura yang tercinta ini.
Penulis merupakan warga Singapura kelulusan Sarjana Muda Madrasatul Quran Kubang Kubang Bujuk, Terengganu, Malaysia. Beliau kini Pengarah pusat pengajian Darul Ulum Pte. Ltd.