Akademi Jawi Malaysia
Kitab Nahu Jawi: Petuturan Melayu
Author: Abdullah Abdur Rahman
Type: Paperback
Pages: 330
Bahasa Melayu yang diketahui sekarang bersusur-galur dari daya usaha pensisteman dan perekodan yang gigih oleh bahasawan bijaksana – yang kebanyakannya datang dari negeri Johor Darul Ta‘zim dan jajahan ta‘luqnya sejak akhir abad ke-19.
Ia bermula dari generasi ‘ulama Melayu, Raja ‘Ali Haji (m. 1873M) yang merintis penubuhan Rushdiah Club, sebuah perkumpulan pemikir Melayu yang menghasilkan begitu banyak karya Melayu-Jawi melalui penerbitan Maṭba‘ah Riayawiyyah dan Aḥmadiyyah Press di Pulau Penyengat dan Singapura.
Kemudian ia berkesinambungan dengan kumpulan bahasawan yang bernaung di bawah pertubuhan Pakatan Belajar-Mengajar Pengetahuan Bahasa (P.BM.P.B) di Johor Bahru.
Seterusnya, Duli Yang Maha Mulia Sulṭān Ibrāhīm memperkenan pengi‘tirafan pertubuhan ini berada di bawah naungan baginda – menjadi Pakatan Bahasa Melayu Persuratan Buku Diraja Johor (P. BM. P. B. Diraja). Di peringkat ini, P. BM. P. B. Diraja di‘ibaratkan seperti Perkumpulan ‘Ilmuwan Diraja (Royal Scientifc Community) yang menyelidik bahasa Melayu-Jāwī, yang ditadbir sepenuhnya oleh anak tempatan.
Dato' Haji ‘Abdu'Llāh ‘Abd al-Raḥmān ialah Yang Dipertua P. BM. P. B. Diraja yang pertama sejak ia dinaikṭaraf. Beliau juga ialah mantan Yang Dipertua Jabatan Agama Islām Johor dan menghasilkan pelbagai karya terjemahan yang mashhūr, antaranya:
Terjemahan Risālah al-Tawḥīd - buku teks ‘Aqīdah Jāwī.
Matahari Memancar: Tarikh Kerajaan Jepun, terjemahan daripada Muṣṭafā Kāmil Pashā, Shams al-Mushriqah
Aḥkām Shar‘iyyah Johor, terjemahan dan penyesuaian dari Majallah al-Aḥkām al-‘Adliyyah, Turki - yang menjadi karya teras perundangan Islām Johor Darul Ta‘zim.
Islām dan Tamaddun, terjemahan daripada Farīd Wajdī, al-Islām wa al-Ḥaḍārah.
Sebagai seorang tokoh ‘ilmuwan yang diasuh dalam tradisi Islām, beliau telah menghasilkan Kitab Permulaan Petuturan Melayu, sebuah karya penting mengenai jalan bahasa Melayu-Jāwī.
Karya ini menyerlahkan ke‘ilmuwan bahasanya, yang mana beliau telah menggabungkan kecanggihan naḥu ‘Arab dengan keindahan bahasa Melayu-Jāwī.
Beliau memperkenalkan iṣṭilāḥ-iṣṭilāḥ Melayu aṣli bagi beberapa konsep bahasa seperti Gahara (subject, fā‘il); Rakam (maf‘ūl, object) dan banyak lagi.
Petuturan Melayu ‘ibārat peta atau panduan naḥū yang menerangkan kota bahasa Jāwī, ya‘nī menunjukkan jalan dan arah yang perlu dilalui bagi tiba ke ma‘nā yang tersīrat yang berdiam di dalam “binaan” Perkataan. Setiap satu perkataan itu terbina oleh “batu” Nama dan “bata” Pebuatan, dan diikat oleh “simen” Diwal. Jika Perkataan itu di‘ibāratkan sebagai “binaan”, maka tinggi-rendah, besar-luas dan sempit-lapang binaan itu ialah Segala Kelakuan perkataan – ya‘nī aneka ragam binaannya. Di dalam kitāb ini setiap satu binaan, batu, bata, simen dan aneka ragam binaannya disertakan ta‘rīf dan contoh bagi memahami kepesatan kota bahasa Jāwī.