Penerbit UKM

Warisan Hadis Ulama Nusantara

$17

Author: Mazlan Ibrahim, Haziyah Hussin, Latifah Abdul Majid

Type: Paperback 

Pages: 206

Warisan Hadis Ulama Nusantara memuatkan makalah yang mengupas sumbangan ulama dalam pengajian dan perkembangan ilmu hadis di Nusantara menerusi kajian terhadap sebahagian kitab mereka. Selari dengan perkembangan ilmu Islam yang pesat, merentasi batas sempadan Semenanjung Arab, usaha dan khidmat bakti terhadap hadis dan melestarikannya turut menjangkau ke negara-negara bukan Arab seperti India, Pakistan, dan negara-negara di rantau Asia Tenggara yang lebih sinonim dengan nama Nusantara. Perkembangan ini berkait rapat dengan kedatangan Islam ke rantau ini. Menurut al-Attas, Islam telah berada di Nusantara semenjak abad ke-7 Masihi melalui interaksi antara masyarakat setempat dengan pedagang Arab dan India. Walau bagaimanapun, pengajian hadis berlaku sedikit lewat dan agak perlahan berbanding pengajian ilmu-ilmu lain. Bahkan, sebelum abad 20 Masihi, bahan yang banyak diajarkan di Nusantara adalah al-Quran, ilmu-ilmu akidah, tasawuf, fiqah Shāfi’iyyah, Nahw dan Saraf.

Demikian juga daripada sudut pengkaryaan ulama Nusantara, didapati karya-karya mereka lebih banyak mewakili cabang-cabang ilmu berkenaan. Perbincangan tentang hadis dan ilmu-ilmu berkaitannya masih belum dibukukan secara khusus, sebaliknya terdapat dalam kitab-kitab fiqah, tasawuf dan akidah. Pengkaryaan dalam bidang hadis secara khusus di Nusantara dapat dikesan seawal abad ke-17 Masihi. Kebanyakan karya-karya yang dihasilkan pada peringkat ini lebih tertumpu kepada pengumpulan hadis secara umum, terjemahan ke dalam Bahasa Melayu dengan tulisan Jawi dan huraian ringkas kepada maksud hadis. Karya hadis juga tidak terbatas kepada hadis-hadis sahih sahaja, bahkan turut mengandungi hadis da’if, athar para Sahabat r.a. dan tabi’in. Manakala sebahagian karya yang lain menumpukan kepada aspek fiqah yang diperoleh daripada hadis-hadis.

Akhir abad ke-19 Masihi dan awal abad ke-20 Masihi memperlihatkan suatu anjakan telah berlaku kepada ilmu hadis dan pengajiannya di Nusantara. Pengajian ilmu ini mula menuju ke satu dimensi baru kerana ulama dan masyarakat setempat telah memberikan perhatian kepada disiplin-disiplin ilmunya sama ada dalam bentuk penulisan atau penyampaian. Para ulama bergiat aktif menghasilkan karya-karya yang amat bernilai dalam bidang hadis sama ada berbentuk karya asli mahupun karya terjemahan dan syarahan kepada kitab-kitab berbahasa Arab karangan ulama dari Timur Tengah. Mereka menyusun semula, menghalusi, memilih dan mensyarahkan kitab-kitab tersebut. Sehubungan itu, buku ini menggarap sebahagian warisan hadis yang ditinggalkan oleh ulama Nusantara.

Mereka terdiri daripada Abd. al-Rauf al-Fansuri al-Singkili, Syeikh Nuruddin al-Raniri, Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari, Syeikh al-Nawawi Banten, Syeikh Mahfuz al-Tarmasi, Maulana Tok Khurasan, Syeikh Abu Bakar Palestin, T.M Hasbi Ash-Shiddieqy, Syeikh Mohamed Idris al-Marbawi, Syeikh Muhammad Yasin al-Fadani, Mustafa Abdul Rahman, Muhammad Syuhudi Ismail dan Muhammad Quraish Shihab. Sejarah pengkaryaan hadis ini menunjukkan betapa luasnya penguasaan ilmu dalam kalangan ulama Nusantara. Meskipun mereka tidak menghasilkan karya khusus dalam hadis, ini tidaklah bermaksud mereka tidak memahami dan mendalami ilmu hadis. Sebaliknya mereka telah menggunakan hadis dalam buku-buku di dalam disiplin ilmu lain tanpa mengabaikan aspek metodologi yang ditetapkan dalam penerimaan dan penghujahan dengan hadis.

You may also like

Recently viewed